Saturday, 19 April 2014

Tanah Perkuburan Islam Lama di Kampong Kupang

     Tahun lepas, sebuah tanah perkuburan lama telah ditemui di Kampong Kupang. Tanah perkuburan itu ditemui oleh pihak pemaju yang sedang dalam kerja pembinaan kolam tadahan banjir di kawasan tersebut. Admin, Ibunda dan abang admin berkesempatan melawat ke tanah perkuburan tersebut. Sebenarnya admin ada merakamkan perjalanan menuju ke sana dan juga gambar-gambar kayu dan batu nisan yang terdapat di sana. Tapi sehingga kini, admin tidak pula ingat di mana gambar-gambar tersebut disimpan. Insya Allah, jika admin menemui gambar-gambar tersebut, admin akan berkongsi bersama pembaca sekalian.

     Mengikut ibunda, beliau berkesempatan berbicara dengan dua pekerja pembinaan kolam tadahan tersebut. Pekerja yang berasal dari Indonesia itu menyatakan pada awalnya mereka tidak mengetahui akan kewujudan tanah perkuburan di situ. Apabila menemui tanah perkuburan itu, mereka segera melaporkan perihal tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab. Ujar mereka lagi, mereka kerap kali berehat tidur berhampiran dengan kawasan tersebut. Tapi apabila mengetahui perihal sebenar, untuk pergi dekat dengan kawasan tanah perkuburan itu pun mereka tidak berani. hehe.

     Menurut ayahanda dan ibunda, tanah perkuburan itu memang sudah lama dan bukanlah satu benda yang baru bagi penduduk Kampong Kupang. Mereka memang mengetahui mengenai tanah perkuburan itu. Kawasan berdekatan dengan tanah perkuburan tersebut merupakan penempatan bagi beberapa keluarga penduduk Kampong Kupang pada satu ketika dulu. Ibunda admin bersama adik-adiknya yang lain seringkali melalui kawasan tanah perkuburan itu jika hendak pergi berkebun. Namun dengan peredaran masa, sikit demi sedikit penduduk kampong yang tinggal berdekatan dengan kawasan tersebut mulai pindah dan terbiarlah tanah perkubuan tersebut di sana.

   Pada Hari Sabtu 2 Februari 2013, satu lawatan telah diadakan ke tanah perkuburan tersebut.  Lawatan telah dihadiri oleh Pegawai-Pegawai dari Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Pegawai dari Jabatan Pusat Sejarah dan penduduk Kampong. Rombongan diketuai olih Yang Mulia Ustaz Haji Hasan bin Amat, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong.



     Gambar diambil dari blog Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam Brunei. Terdapat lebih 20 batu nisan yang terdapat di tanah perkuburan tersebut. Ada yang menggunakan nisan yang diperbut daripada kayu dan batu tanah. Menurut mereka kayu dan batu nisan yang terdapat di Tanah Perkuburan ini berusia lebih kurang 200 tahun. Terdapat beberapa nisan kayu yang diukir dengan menggunakan tulisan jawi. Sayang sekali, admin tidak dapat menunjukkan gambar nisan berukir tulisan jawi tersebut dengan anda semua.

     Ibunda juga turut memberitahu admin bahawa ada nenek dan saudara mara keluarga kami juga turut disemadikan di tanah perkuburan tersebut. Ibunda sempatlah memberitahu nama dan pertalian mereka dengan keluarga kami, tapi terlalu susah untuk difahami dan diingat kerana terlalu banyak nama yang disebutkan.

    Untuk memudahkan pembinaan kolam tadahan banjir di kawasan itu, pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam telah bercadang untuk memindahkan kubur-kubur yang berada di situ ke tempat lain. Pemindahan ini akan diadakan pada hari Isnin, 21hb April 2014 bermula 8 pagi. Insya Allah, jika tiada aral melintang, admin juga akan ikut serta pada pagi itu. Mudah-mudahan pemindahan kubur pada Isnin ini akan berjalan dengan lancar. Amin Ya Rabb.

     Ketika Ibunda memberitahu admin mengenai pemindahan itu, ada rasa kecewa dan tidak berpuashati. Kenapa perlu dipindah? Tanah Perkuburan itu berada di situ sudah lama. Apa salahnya jika kawasan tanah perkuburan itu dikekalkan begitu dan hanya perlu diperbaiki dan diberikan pagar mengelilingi serta tanda baca tanah perkuburan diletakkan di sana. Rasanya tidak menganggu kerana tanah perkuburan itu tidak memakan kawasan yang luas. Lihat saja ada tanah-tanah perkuburan yang dikekalkan hingga kini seperti sebuah kubur berdekatan di Stadium Haji Hassanal Bolkiah atau kubur yang terdapat di Taman Peranginan dan Hutan Simpan Bukit Shahbandar. Nah! Semuanya dikekalkan dan tidak menganggu orang awam. Entahlah, mungkin mereka ada sebab-sebab munasabah yang memaksa kubur-kubur lama tersebut dipindahkan. Walau apa pun tindakan mereka mudahan mendapat redha dari Allah dan admin doakan semuanya akan berjalan dengan lancar. Itu saja yang admin harapkan.

Masjid Kampong Kupang

   

    Masjid Kampong Kupang terletak kira-kira 17km dari Pekan Tutong. Masjid ini dibina pada tahun 1981 di atas tapak seluas 0.25 ekar dan siap pada awal bulan Mei 1982 dengan perbelanjaan sebanyak $300,000 yang dibiayai oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bantuan daripada Majlis Ugama Islam.

    Masjid ini telah dibuka rasmi oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Hamid bin Bakal, Qadi Besar Negara Brunei Darussalam pada hari Jumaat, 8hb Jamadilawal 1404H bersamaan dengan 10hb Februari 1984 bersempena dengan pengisytiharan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Kapisiti masjid ini boleh menampung seramai 300 orang jemaah. Antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah perkakas menyempurnakan jenazah dan bilik khutub khanah.

    Masjid ini juga mengalami proses pembesaran sehingga boleh menampung seramai 500 jemaah. Tambahan bangunan masjid ini telah dibuat pada tahun 1997 dan siap pada bulan Disember 1997 dengan kos harga $85,000.

Haji Siadis bin Haji Damit
Imam Tkt II
Haji Julaiadi bin Haji Baha
Bilal Tkt II


Sumber: http://www.religious-affairs.gov.bn

Asal Usul Nama Kampong Kupang

    Asal usul nama Kampong Kupang? Dari mana dan siapa yang memberikan nama "Kupang" kepada kampong ini? Adakah 'kupang' yang dimaksudkan itu ialah sejenis kerang yang hidup di laut? Itulah hendak dikaji oleh admin sendiri mengenai kisah asal usul nama kampong ini.

    Setiap nama yang diberikan selalunya memiliki kisah yang tersendiri sehinggakan wujudnya nama itu.  Selalunya asal-usul nama Kampong ini disampaikan secara lisan iaitu daripada cerita orang-orang tua dari satu generasi ke generasi seterusnya, kerana kisah yang betul-betul berlaku tidak ditulis atau dicatat. Sama ada ia betul-betul terjadi atau tidak, itu terpulanglah kepada setiap individu itu memikirkannya.

    Ini adalah sebuah kisah yang diceritakan sendiri oleh ibu saya. Menurutnya, cerita ini juga didengar daripada nenek saya yang sejak lahir lagi sudah tinggal di kampong ini. Menurut kisah, nama kampong itu berasal dari nama sebatang pokok.
     
    Dulunya kampong itu ialah sebuah hutan belantara dan belum ada penempatan lagi. Sehinggalah satu hari, ada sekumpulan orang yang datang ke tempat itu dan telah bercadang untuk membuat penempatan di situ. Maka mereka pun membersihkan dan 'menyiangi' hutan tersebut untuk membuat rumah. Semua pokok-pokok yang kecil ataupun besar habis ditebang, begitu juga dengan semak samun semuanya sudah ditebas. Kecuali sebatang pokok yang sangat besar. Pokok itu namanya pokok 'Kupang'; sangat tinggi dan batangnya yang sangat besar. Berkali-kali mereka cuba menebang pokok itu dengan pelbagai peralatan yang ada tapi tidak berhasil. Semua peralatan tidak lut pada batang pokok tersebut. Akhirnya, penat dengan pelbagai percubaan, mereka pun membiarkan saja pokok itu berdiri gah di situ dan menamakan penempatan baru mereka itu sebagai Kampong Kupang.

(Sekadar gambar hiasan saja)
Calaveras Big Trees State Park, California.

     Tidak mustahil bukan jika admin katakan mungkin besar pokok kupang dari cerita lisan tadi seperti yang tertera dalam gambar di atas. hehe. Admin sempat juga bertanya kepada Ibunda sama ada pokok kupang yang dimaksudkan itu ada masih atau tidak di kampong ini. Jika tiada pohonnya, mungkin ada peninggalan tunggul atau tempatnya. Tapi Ibunda sendiri tidak mengetahui perihal tersebut. Yang hanya ada sehingga kini ialah sebuah cerita lisan.

p/s: Insya Allah, admin akan cuba mencari lagi cerita-cerita mengenai asal-usul nama Kampong Kupang dari informan yang lain. Manatahu, ada cerita yang berlainan daripada cerita Ibunda. Pernah sekali ada rakan admin menyatakan pendapatnya mengenai nama Kampong Kupang. Katanya, mesti dulu tempat ini adalah laut atau persisiran pantai. Jadi Kupang (kerang) banyak terdapat di sini. Wallahualam, admin sendiri pun tidak mengiyakan tidak jugak menidakkan. Masing-masing ada pendapat dan tafsiran mereka sendiri.

Admin tinggalkan pembaca yang lain untuk berfikir. Anda rasa nama Kampong Kupang itu berasal dari mana? Mungkin ada pembaca dari puak atau bangsa berlainan yang ada perkataan 'kupang' di dalam bahasa masing-masing dan mungkin ia membawa maksud yang lain. Boleh berkongsi sama.... :)

Pengenalan : Kampong Kupang

     Kampong Kupang ialah sebuah kampong yang terletak di Daerah Tutong di bawah Mukim Keriam. Kampong ini terletak bersebelahan dengan Kampong Katimahar di sempadan barat Daerah Brunei dan Muara dan merupakan kampong pertama yang anda akan jejaki sekiranya anda memasuki Daerah Tutong (melalui Jalan Tutong).  Kini, Kampong Kupang diketuai oleh Awg Hj Puasa bin Hj Kula bermula September 2007 sehingga kini.
    
Peta Kampong Kupang yang diambil dari Google Map.
(klik gambar untuk gambar lebih jelas)


      Kampong Kupang memiliki lebih kurang 2,100 orang penduduk dan Majoriti penduduk kampong ini  ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam serta terdiri daripada puak Kedayan. 

   Terdapat pelbagai sumber yang menyatakan mengenai asal usul puak Kedayan. Puak Kedayan merupakan salah satu daripada tujuh puak jati masyarakat Brunei. Puak Kedayan secara tradisinya beragama Islam dan belum ada yang menganut agama selain daripada agama Islam. Puak Kedayan juga merupakan peribumi anak jati kedua terbesar di Brunei Darussalam. 

    Ada satu sumber mengatakan bahawa Kedayan merupakan bangsa campuran orang Jawa dan Masyarakat Melayu Brunei yang mana peristiwa Sultan Brunei Ke-5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang rajin singgah di tanah nusantara seperti di kepulauan Jawa, Sumatera, Kalimantan dan termasuklah  tanah Filipina. Di tanah Jawa, baginda berpeluang melihat aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan mereka ini dikenali dengan jadi bertanam (hasil tangan mereka yang banyak membuahkan hasil), maka baginda pun segera menawarkan mereka untuk menetap di Brunei. Setelah di Brunei banyak aktiviti pertanian dibuat dengan giat dan banyak hasilnya lalu Baginda memberikan hadiah. Di sinilah bermulanya ikatan pertalian dan persaudaraan orang Jawa melalui perkahwinan campur dengan Masyarakat Melayu Brunei.