Asal usul nama Kampong Kupang? Dari mana dan siapa yang memberikan nama "Kupang" kepada kampong ini? Adakah 'kupang' yang dimaksudkan itu ialah sejenis kerang yang hidup di laut? Itulah hendak dikaji oleh admin sendiri mengenai kisah asal usul nama kampong ini.
Setiap nama yang diberikan selalunya memiliki kisah yang tersendiri sehinggakan wujudnya nama itu. Selalunya asal-usul nama Kampong ini disampaikan secara lisan iaitu daripada cerita orang-orang tua dari satu generasi ke generasi seterusnya, kerana kisah yang betul-betul berlaku tidak ditulis atau dicatat. Sama ada ia betul-betul terjadi atau tidak, itu terpulanglah kepada setiap individu itu memikirkannya.
Ini adalah sebuah kisah yang diceritakan sendiri oleh ibu saya. Menurutnya, cerita ini juga didengar daripada nenek saya yang sejak lahir lagi sudah tinggal di kampong ini. Menurut kisah, nama kampong itu berasal dari nama sebatang pokok.
Dulunya kampong itu ialah sebuah hutan belantara dan belum ada penempatan lagi. Sehinggalah satu hari, ada sekumpulan orang yang datang ke tempat itu dan telah bercadang untuk membuat penempatan di situ. Maka mereka pun membersihkan dan 'menyiangi' hutan tersebut untuk membuat rumah. Semua pokok-pokok yang kecil ataupun besar habis ditebang, begitu juga dengan semak samun semuanya sudah ditebas. Kecuali sebatang pokok yang sangat besar. Pokok itu namanya pokok 'Kupang'; sangat tinggi dan batangnya yang sangat besar. Berkali-kali mereka cuba menebang pokok itu dengan pelbagai peralatan yang ada tapi tidak berhasil. Semua peralatan tidak lut pada batang pokok tersebut. Akhirnya, penat dengan pelbagai percubaan, mereka pun membiarkan saja pokok itu berdiri gah di situ dan menamakan penempatan baru mereka itu sebagai Kampong Kupang.
(Sekadar gambar hiasan saja)
Calaveras Big Trees State Park, California.
Tidak mustahil bukan jika admin katakan mungkin besar pokok kupang dari cerita lisan tadi seperti yang tertera dalam gambar di atas. hehe. Admin sempat juga bertanya kepada Ibunda sama ada pokok kupang yang dimaksudkan itu ada masih atau tidak di kampong ini. Jika tiada pohonnya, mungkin ada peninggalan tunggul atau tempatnya. Tapi Ibunda sendiri tidak mengetahui perihal tersebut. Yang hanya ada sehingga kini ialah sebuah cerita lisan.
p/s: Insya Allah, admin akan cuba mencari lagi cerita-cerita mengenai asal-usul nama Kampong Kupang dari informan yang lain. Manatahu, ada cerita yang berlainan daripada cerita Ibunda. Pernah sekali ada rakan admin menyatakan pendapatnya mengenai nama Kampong Kupang. Katanya, mesti dulu tempat ini adalah laut atau persisiran pantai. Jadi Kupang (kerang) banyak terdapat di sini. Wallahualam, admin sendiri pun tidak mengiyakan tidak jugak menidakkan. Masing-masing ada pendapat dan tafsiran mereka sendiri.
Admin tinggalkan pembaca yang lain untuk berfikir. Anda rasa nama Kampong Kupang itu berasal dari mana? Mungkin ada pembaca dari puak atau bangsa berlainan yang ada perkataan 'kupang' di dalam bahasa masing-masing dan mungkin ia membawa maksud yang lain. Boleh berkongsi sama.... :)
No comments:
Post a Comment